KUALA LUMPUR, 4 Mac- Cadangan berhubung caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bukan warganegara, serta nilai dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar bagi Malaysia dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Chiew Choon Man (PH-Miri) akan meminta penjelasan mengenai caruman KWSP untuk bukan warganegara yang dilihat membebankan majikan serta pada masa sama, mengalih perhatian KWSP daripada tumpuan khusus, iaitu simpanan persaraan warganegara.
Beliau bertanyakan perkara itu kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) akan meminta Perdana Menteri menyatakan nilai dan kadar pertumbuhan KDNK sebenar serta nominal bagi Malaysia pada 2022, 2023 dan 2024.
Turut menarik perhatian, soalan berhubung cadangan untuk memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga, khususnya yang melibatkan wanita.
Perkara itu akan dibangkitkan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sesi soal jawab lisan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai keberhasilan percubaan penggunaan kod respons pantas (QR) untuk rakyat tempatan, yang dilaksanakan bermula pada Januari 2025 di 40 lorong khas Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk negara.
Usai sesi berkenaan, persidangan Dewan Rakyat dijadualkan diteruskan dengan pembentangan sembilan rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama.
Antara RUU yang terlibat ialah RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri, RUU Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (Kementerian Ekonomi) serta RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU Kredit Pengguna 2025 masing-masing di bawah Kementerian Kewangan.
Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri.- BERNAMA