fb fb fb fb fb

Cameron Highlands banjir, 87 penduduk dipindahkan

FOTO HIASAN/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Tiga negeri terjejas banjir iaitu Perak, Kedah dan Pahang membabitkan seramai 568 penduduk daripada 246 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mencatatkan seramai 329 penduduk terjejas di Perak, diikuti Kedah (152) dan Pahang (87).

Di Perak, dua PPS dibuka di daerah Hilir Perak iaitu PPS Dewan Serbaguna Kg Padang Tembak menempatkan 174 orang daripada 56 keluarga dan PPS Dewan MPTI Langkap (38 orang, 15 keluarga), manakala daerah Hulu Perak dan Kerian masing-masing membuka satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kerunai dengan 76 orang daripada 20 keluarga dan PPS SK Changkat Lobak (41 orang, sembilan keluarga).

Di Kedah, dua daerah terjejas iaitu Baling dan Bandar Baharu melibatkan tiga PPS dibuka kepada orang ramai.

"PPS SK Siong dan PPS SK Seri Bayu merekodkan 124 penduduk daripada 118 keluarga dan 21 penduduk daripada lapan keluarga, manakala PPS Masjid Sungai Batu di daerah Bandar Baharu mencatatkan tujuh penduduk daripada tiga keluarga," menurut kenyataan.

Sementara di Pahang, daerah Cameron Highlands membuka satu PPS di DOR Sungai Ruil membabitkan 87 penduduk daripada 17 keluarga.

SITI AISHAH BINTI MD ISA