fb fb fb fb fb

Calon SPM terjejas banjir diminta segera lapor ke JPN

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh / BERNAMA

IPOH, 2 Januari- Semua calon SPM yang tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana diminta segera melaporkannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata calon boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk memudahkan penyaluran bantuan.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menguruskan bencana banjir pada ujian bertutur bulan lepas, pihaknya yakin mampu mengendalikan sebarang isu berbangkit.

"Pada masa yang sama juga KPM pada setiap masa ada bekerjasama dengan pihak NADMA dan juga pihak Jabatan Meteorologi untuk membuat persediaan awal berkenaan dengan segala perkara yang diperlukan sekiranya berlakunya sama ada bencana banjir ataupun bencana -bencana yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Pasir Puteh, Ipoh.

Seramai 31,705 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 323 pusat peperiksaan seluruh negeri Perak.

Daripada jumlah itu, seramai 27,942 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE