KOTA BHARU, 29 November-Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang disediakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, itu antara langkah drastik atau luar jangka yang diambil KPM bagi memastikan kesemua calon SPM dapat menduduki peperiksaan berkenaan pada Isnin nanti.
Beliau berkata, bagi calon yang terjejas banjir atau sekolah mereka mungkin terjejas banjir, mereka boleh menduduki peperiksaan di pusat alternatif.
Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah sendiri.
Menurutnya, sehingga kini persiapan menjelang SPM berjalan lancar termasuk di negeri yang dilanda banjir.
"Kita ada pusat peperiksaan kita. Jadi kalau pusat sekolah itu terjejas mereka boleh mengambil peperiksaan SPM dimana-mana tempat peperiksaan yang lain. Kita bersedia daripada aspek itu juga. Jadi pusat peperiksaan kita juga telah pun kita siapkan untuk ambil langkah menerima calon-calon lain luar daripada daerah.
"Ini semua adalah langkah drastik yang kita siapkan dari aspek memastikan mereka dapat juga mengikuti peperiksaan sekiranya sekolah mereka terjejas. Jadi pusat daerah peperiksaan yang lain akan mengambil alih untuk menerima calon-calon ini ditempat tersebut sebagai pusat alternatif", katanya demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini.
KPM memaklumkan peperiksaan SPM 2024 akan bermula Isnin ini hingga 6 Februari depan.
Seramai 402, 956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 dan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan 126,636 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Menurut rekod, setakat pukul 7.00 malam tadi seramai 2,000 orang calon SPM terjejas di seluruh negara, manakala sekolah terlibat banjir sebanyak 163 buah dan jumlah PPS melibatkan sekolah sebanyak 286.
Diminta mengulas isu pelajar Malaysia yang menetap di Golok, Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, Fadhlina berkata bermula 1 Dis ini, perkara itu tidak lagi timbul kerana pihaknya telah mencari langkah penyelesaian.
"Kita telah mengambil tindakan untuk menempatkan kira-kira 100 pelajar di asrama dan kedua, memastikan mereka memiliki pas sah supaya tidak lagi merentas laluan yang tidak diwartakan.
"Kita juga beri peluang kepada ibu bapa untuk memilih sama ada tinggal di asrama atau tinggal bersama saudara terdekat dalam sesi libat urus bersama mereka," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.