fb fb fb fb fb

Cakna ramalan, amaran cuaca MetMalaysia

Nik Nazmi Nik Ahmad

KOTA BHARU, 20 September- Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil perhatian berhubung maklumat ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, maklumat berkenaan boleh diperoleh secara langsung menerusi laman sesawang MetMalaysia.

Perkara itu bagi mengetahui sebarang perubahan cuaca yang tidak menentu yang sedang melanda negara ketika ini.

"Oleh itu, saya berharap agar orang ramai sentiasa peka terhadap amaran serta perubahan cuaca yang berlaku di kawasan masing-masing susulan fasa peralihan monsun dijangka bermula November ini.

"Saya juga menasihati orang ramai agar menangguhkan sebarang aktiviti riadah di kawasan perkelahan, pinggiran sungai, cerun bukit dan kawasan berisiko berikutan cuaca ekstrem ketika ini," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Kampung Angkat MADANI di Kampung Aril, di sini.

Nik Nazmi juga memaklumkan sistem amaran di negara ini sentiasa berfungsi dengan baik terhadap ramalan dan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan MetMalaysia.

Dalam pada itu Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September dan berterusan hingga awal November depan.

Permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas dan rantau negara diramal akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI