fb fb fb fb fb

Cadangan SOP PRU DUN Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas MKN - PM

BERA, 23 Januari - Cadangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, mesyuarat itu akan dihadiri wakil parti pembangkang dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membincangkan cadangan SOP itu secara terperinci.

Menurutnya, keutamaan kerajaan kini adalah bagi membendung peningkatan kes positif COVID-19 ketika PRU DUN Johor.

Ini kerana penularan COVID-19 kini meningkat mencecah 4,000 kes sejak beberapa hari lepas.

"Saya boleh panggil mesyuarat sidang khas MKN ini. Saya juga minta Kementerian Kesihatan tampil dengan cadangan untuk saya bawa dalam sidang khas MKN yang juga diwakili oleh pembangkang," kata Ismail Sabri kepada media.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah keputusan pilihan raya negeri kelak akan dijadikan penanda aras untuk beliau membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 namun jelasnya, ia masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Ramai yang anggap Johor boleh jadi penanda aras tapi kita akan lihat bagaimana, sebab masih terlalu untuk saya maklumkan. Keputusan PRN pun belum ada lagi," tambahnya.

Kemenangan PRU DUN Sarawak dan Melaka sebelum ini dilihat sebagai penanda aras untuk beliau membubarkan Parlimen memandangkan sokongan rakyat jelas terhadap UMNO selaku peneraju kerajaan pusat.

"UMNO tidak bertanding di Sarawak sementara PRU DUN Melaka menyaksikan UMNO menang tetapi peratus keluar mengundi terlalu rendah," kata beliau dalam sidang media selepas majlis perjumpaan bersama pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Bera di Pejabat Kemas daerah Bera, Pahang.

 

Media Baharu