fb fb fb fb fb

Cadangan pindaan Akta Penagih Dadah 1983 dipersetujui, akan dibawa ke Jemaah Menteri

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi membincangkan cadangan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 / Foto FB Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi membincangkan cadangan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bersetuju dengan cadangan pindaan dan syor-syor yang dikemukakan terhadap Seksyen 8 akta itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata pindaan tersebut memberi keutamaan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Beliau berkata, mesyuarat turut memperhalusi dan membincangkan beberapa perkara penting khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 akta itu yang merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau individu yang menyalahgunakan dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.

"Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan ke Parlimen untuk dimuktamadkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid, mesyuarat berkenaan diadakan susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April lepas yang bersetuju supaya satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas diwujudkan melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan cadangan pindaan akta itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN