fb fb fb fb fb

Cadangan pindaan Akta DBP bukan niat untuk menganiaya - DBP

(Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika menghadiri Seminar dan Bengkel Penulisan,
dan Penerbitan Saintifik 2022 di Bandaraya Melaka)

MELAKA, 28 Jun- Cadangan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dilihat secara menyeluruh dengan matlamat memartabat bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menegaskan, tumpuan tidak boleh terarah kepada ketetapan hukuman semata-mata.

Jelas beliau, draf pindaan itu turut meliputi bidang pentauliahan, penarafan, pelesenan, penguatkuasaan, perbadanan, dan pengantarabangsaan.

"Saya merasakan tiada apa yang perlu dirisaukan dalam isu ini kerana dari segi pindaan akta tiada sedikit pun berniat untuk menganiaya orang,

"Apa yang penting kita perlu patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada, untuk itu jangan risau kepada denda yang akan dikenakan jika anda tidak berniat melakukannya," katanya kepada pemberita di Bandaraya Melaka.

(Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka , Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran)

Beliau mengulas demikian susulan isu beberapa pihak yang membantah cadangan denda dikenakan kepada individu yang melanggar pindaan Akta DBP 1959 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara.

Tegasnya lagi, masyarakat sepatutnya melihat cadangan itu secara menyeluruh iaitu untuk memartabat bahasa kebangsaan, bukan hanya ditumpukan pada aspek penguatkuasaan dan hukuman semata-mata.

Media Baharu