fb fb fb fb fb

Benih Asas Padi IS21 bakal tingkat produktiviti pengeluaran padi dan beras

MELAKA, 28 Jun- Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 bakal dibangunkan September ini.

Ia membabitkan kos RM2 juta menggunakan dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Rahim Harun berkata, penggunaan benih padi IS21 yang dilancar November tahun lalu, makin meluas.

Sehingga kini, kira-kira 40,000 petani telah menggunakan benih tersebut kerana manfaatnya dalam meningkatkan produktiviti padi dan beras.

Untuk itu, pihaknya bercadang menambah pengeluaran varieti padi yang ketika ini berjumlah 4,800 tan metrik semusim.

(Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Rahim Harun)

"Bagi tanah 70,000 hektar ditanam oleh lebih kurang 40,000 petani seluruh Malaysia, dan kami tidak boleh mengeluarkan benih lebih daripada itu berikutan kapasiti yang terhad,

"Namun, kami akan cuba tingkatkan pengeluaran benih agar dapat sama dirasai semua golongan petani," katanya kepada RTM selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 di Bandaraya Melaka.

Mengenai pembangunan Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 pula katanya, ia telah berada peringkat akhir perbincangan dan dijangka akan mula dibangunkan pada September depan.

Pembangunan itu berdasarkan piawaian prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa bagi menghasilkan benih yang sah dan berkualiti tinggi.

Media Baharu