Cadangan pinda Akta 333 atasi isu kereta terbiar di perumahan strata

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dicadang sebagai langkah penambahbaikan bagi memperluas skop penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu kenderaan terbiar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memperluas kuasa PBT tangani kereta terbiar di kawasan strata tanpa perlu permohonan JMB/MC.
  • Cadangan guna Seksyen 65 Akta 333 bagi membolehkan pelupusan kenderaan tanpa proses mahkamah panjang.
  • Pengenalan e-Dereg Mac 2025 untuk pelupusan sukarela kenderaan usang dan libat urus dengan agensi berkaitan dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata cadangan itu dibuat berikutan PBT ketika ini tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan terbiar di kawasan strata persendirian tanpa permohonan rasmi atau kerjasama daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

Menurut beliau, penambahbaikan tersebut merangkumi beberapa langkah strategik.

“Antaranya termasuk penggunaan Seksyen 65 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebagai instrumen tambahan bagi membolehkan pelupusan kenderaan dilakukan tanpa melalui proses mahkamah yang panjang.

“Selain itu, pindaan kepada peruntukan tertentu dalam Akta 333 turut dicadangkan bagi memperluaskan kuasa pelaksanaan kepada semua kategori PBT serta memperjelas skop kawasan yang boleh dikuatkuasakan,” katanya menerusi kenyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Tambahnya, langkah lain termasuk mewujudkan mekanisme pelupusan kenderaan secara sukarela melalui sistem e-Dereg yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan pada Mac 2025, bagi membolehkan pemilik melupuskan kenderaan usang masing-masing.

Penambahbaikan itu kini dimuktamadkan melalui proses libat urus bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.