fb fb fb fb fb

Naik harga, KPDN panggil restoran mamak Johor beri penjelasan

Armizan Mohd Ali/RTM

SUBANG JAYA, 13 November- Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor akan dipanggil esok untuk menjelaskan cadangannya untuk menaikkan harga makanan sebanyak lima peratus mulai tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa langkah proaktif telah diambil untuk mengelakkan sebarang kenaikan harga yang tidak wajar susulan kebimbangan tentang kemungkinan sesetengah pihak memanfaatkan situasi ekonomi seperti kenaikan gaji penjawat awam dan gaji minimum.

Tambahnya, KPDN telah mengeluarkan notis bawah Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengarahkan persatuan serta peniaga yang bercadang menaikkan harga untuk memberikan justifikasi kepada tindakan mereka.

"Sebarang kenaikan harga harus berasaskan peningkatan kos sebenar dan bukan disebabkan pihak lain mempunyai pendapatan lebih, lalu harga dinaikkan sesuka hati.

"Saya berharap para peniaga lebih bertanggungjawab dalam memastikan keseimbangan harga dan kepentingan pengguna terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perkongsian Data Harga antara KPDN dengan Mydin dan Redtick di Mydin USJ, di sini, hari ini.

Armizan turut memaklumkan bahawa tindakan tegas termasuk prosiding mahkamah akan dikenakan terhadap peniaga yang melanggar peruntukan akta berkenaan.

Trainee