fb fb fb fb fb

Cadangan ganti MA63, satu pandangan yang terpesong dalam perjuangan nasionalisme negara

KUALA LUMPUR, 26 Julai - Cadangan  supaya perjanjian baharu diwujudkan bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah pandangan terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

Jelasnya, apabila MA63 diabaikan ianya bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili)

MA63 amat penting kerana tanpanya tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

"Pandangan sebegini sangat mengelirukan, jauh tersasar dan tidak selaras pindaan perlembagaan yang telah diluluskan di dalam dewan yang mulia ini yang mana Perjanjian Malaysia 1963 kini telah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman di Parlimen.

Tambah Datuk Seri Dr Maximus, tumpuan harus diberikan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi.

Beliau juga menegaskan agar mengelak dari bermain dengan semantik dan politik kerana ia tidak akan membawa lebih kebaikan daripada kemunduran khas dari segi kesatuan dan kesepaduan Keluarga Malaysia.

Media Baharu