Cabaran perubahan iklim, perlukan lebih banyak penyelidikan

Stesen Pam Pengairan Gong Tambak dibina di Pasir Puteh bagi menangani masalah sektor pertanian yang berdepan pelbagai cabaran, antaranya perubahan iklim dan peningkatan suhu global./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Malaysia perlu terus memperkukuh pengurusan sumber air negara menerusi pelbagai inisiatif penyelidikan, penggunaan teknologi moden serta kerjasama strategik antara agensi bagi menghadapi cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan iklim mengubah taburan hujan dan aliran sungai; langkah adaptasi diperlukan untuk menjamin bekalan air.
  • Penilaian semula data hidrologi diperlukan agar reka bentuk loji rawatan relevan dengan keadaan semasa.
  • Keupayaan dan kesiapsiagaan operator negeri perlu dinilai bagi menghadapi risiko kemarau lebih ekstrem.
  • Penggunaan AI, sensor pintar dan pemantauan masa nyata meningkatkan pemantauan kualiti air serta tindakan awal terhadap pencemaran.

Pensyarah Bidang Hidrologi dan Sumber Air, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya GS. Dr. Mohd Sofiyan Sulaiman berkata, perubahan iklim sememangnya memberi kesan terhadap corak taburan hujan dan aliran sungai, namun pelbagai langkah adaptasi boleh dilaksanakan bagi memastikan bekalan air negara terus terjamin.

Menurut beliau, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah penilaian semula data hidrologi serta keupayaan infrastruktur sedia ada agar kekal relevan dan berupaya memenuhi keperluan semasa serta cabaran perubahan iklim.

“Data hidrologi yang digunakan dalam reka bentuk dan pembinaan loji rawatan air perlu dinilai semula agar selaras dengan perubahan keadaan semasa. Mungkin paras air minimum yang direkodkan ketika ini menunjukkan perubahan berbanding rekod kira-kira 20 tahun lalu, sekali gus memerlukan penambahbaikan terhadap infrastruktur bekalan air sedia ada.

“Jika sebelum ini loji rawatan air dibina berdasarkan paras air minimum tertentu, keadaan semasa mungkin memerlukan semakan semula terhadap reka bentuk dan kaedah operasi bagi memastikan proses pengambilan air dapat diteruskan dengan selamat serta berkesan.

“Sehubungan itu, operator air di setiap negeri perlu menilai tahap kesiapsiagaan dan keupayaan loji sedia ada bagi memastikan sistem bekalan air kekal mampan serta berupaya menghadapi risiko musim kemarau yang lebih ekstrem pada masa hadapan,” katanya selepas menghadiri program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), sensor pintar dan sistem pemantauan masa nyata mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air negara.

Menurutnya, teknologi berkenaan membolehkan data berkaitan kualiti air serta pencemaran sungai diperoleh secara lebih cepat dan tepat, sekali gus membantu pihak berkuasa serta operator loji rawatan air mengambil tindakan awal bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.