fb fb fb fb fb

CAAM lakukan SPI di 19 lapangan terbang domestik di seluruh negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 April- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan pemeriksaan tujuan khas (SPI) pada Januari dan Februari lalu di 19 lapangan terbang domestik dan antarabangsa di seluruh negara.

Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan tersebut tertumpu kepada kemudahan-kemudahan aerodrom yang kritikal, termasuk landasan, laluan pesawat, apron dan penunjuk arah angin.

"MoT melalui CAAM telah mengambil tindakan segera dan langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan pematuhan aerodrom di Malaysia susulan kemalangan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, Jepun pada Januari lepas," kata kenyataan itu.

Lanjutan aktiviti pemeriksaan SPI itu, CAAM juga telah menganjurkan satu bengkel pematuhan pada 26 Mac lalu, dengan dihadiri oleh 66 wakil daripada semua pengendali aerodrom di seluruh negara.

Bengkel tersebut merupakan platform meningkatkan kerjasama antara CAAM sebagai badan kawal selia dan pengendali aerodrom.

Selain itu ia juga merupakan komitmen bersama antara kedua-dua pihak untuk mengekalkan piawaian keselamatan, kecekapan dan kemampanan tertinggi dalam industri penerbangan.

Menurut kenyataan itu usaha CAAM adalah untuk memastikan pematuhan piawaian secara keseluruhan oleh semua pengendali aerodrom mencerminkan tanggungjawab kolektif di dalam mengekalkan tahap keselamatan dan integriti infrastruktur penerbangan di negara ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI