fb fb fb fb fb

Bumiputera digalak teroka perladangan durian komersial

Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI di Kampung Pantai Mek Mas. - Foto BERNAMA.

KOTA BHARU, 6 September - Usahawan Bumiputera digalak mengusahakan kebun durian secara komersial berikutan nilai eksport yang tinggi terutama ke China.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini 95 peratus pengusaha durian bukan dalam kalangan orang Melayu, sedangkan potensi pasaran amat besar.

“Nilai eksport durian negara dijangka mencecah RM1.8 bilion menjelang 2030, malah sejak tahun lalu sahaja hasil eksport sudah pun mencapai RM1 bilion. Harga durian mampu mencecah sehingga RM200 sebiji bergantung kepada baka, justeru bumiputera yang memiliki tanah sesuai perlu merebut peluang ini,” katanya.

Tambah beliau, selain produk hiliran berasaskan durian semakin mendapat sambutan di pasaran antarabangsa, peluang perladangan juga terbuka luas untuk tanaman lain seperti nanas dan avokado.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, mengulas isu beras, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan kementeriannya sedang menjalankan kajian terperinci mengenai kurangnya permintaan terhadap beras tempatan berbanding beras import.

“Kita sedang buat kajian secara mendalam hal beras ini. Beras tempatan yang berharga sekitar RM26 kurang laku kerana pengguna lebih memilih beras import dengan harga yang tidak jauh berbeza. Jadi, kita perlu kembali menggerakkan kempen untuk makan beras tempatan,” jelasnya.

TUN JULIA MOHD TAHIR