KUALA TERENGGANU, 27 September - "Cepat dan Mudah".
Itu reaksi pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menggunakan program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Tinjauan dilakukan sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati sebahagian pegawai dan anggota polis mula mengisi petrol bawah BUDI95.
Mereka merupakan antara lebih 3,000 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Terengganu yang layak menikmati BUDI95.
"Dia minta kita IC (kad pengenalan) dulu, lepas tu dia akan imbas IC kita, kemudian dia minta kita bayaran berapa, lepas tu selesai, mudah sahaja.
"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan kerana program ini dan kami juga rasa kerajaan membuktikan keprihatinan mereka terhadap warga keselamatan negara yang sentiasa di barisan hadapan," kata anggota PDRM, Koperal Nurul Mariam Abu Hassan.
"Alhamdulillah, seperti yang sedia maklum, Kerajaan MADANI telah mengumumkan BUDI95 untuk isi minyak, jadi kita dapat pengurangan 6 sen. Saya tengok daripada RM2.05 turun ke RM1.99, memang banyak memberi nafas lega.
"Alhamdulillah, sangat mudah, seperti kita lihat hanya perlu masukkan IC, 'key-in' dan terus boleh isi minyak. Sangat ringkas dan sangat mudah," kata anggota PDRM, ASP Mohd Zulfadly Zulkifli.
"Ianya sangat memberi manfaat daripada segi kos perbelanjaan petrol harian untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan," kata anggota PDRM, Sarjan Mohd Hizwan Jahaya.
"Apa yang saya lihat berkaitan BUDI95, proses berjalan lancar dan sedikit sebanyak dapat membantu PDRM, dan diharap benda ini dapat diteruskan," kata anggota PDRM, ASP Muhammad Faizol Azhar Che Omar.
"Sangat okay dan mudah, datang ke stesen minyak bawa IC untuk tengok syarat kelayakan, lepas itu dah boleh isi minyak. Proses dalam masa 2 ke 3 minit sahaja, sekejap je. Tapi hari pertama kalut sikit, tapi mudah dan cepat," kata anggota PDRM, Konstabel Mohd Asyraf Mohd Fetri.
PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan kumpulan pertama yang mula menikmati harga bersubsidi berkuat kuasa hari ini.
Langkah itu dijangka meningkatkan semangat dan motivasi pasukan Keselamatan dalam menjalankan tugas.