KUALA LUMPUR, 23 September - Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99
seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi melindungi kesejahteraan rakyat.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, pengenalan BUDI95 bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.
"Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
"Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan," menurut kenyataan itu.
Siling kelayakan bulanan itu telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berikutan 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
"Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta proton saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan.
"Siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat
komersial berskala besar," tambah kenyataan itu.
Profil kelayakan serta baki penggunaan kelayakan bulanan boleh disemak menerusi portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9.00 pagi hari Khamis, 25 September ini.
Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka menerusi portal tersebut.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, pada hari dan waktu yang sama.
BERITA BERKAITAN: