IPOH, 17 Oktober - Sebanyak lapan aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berhubung manipulasi pelaksanaan sistem subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) setakat Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata enam aduan melibatkan meter pam minyak, manakala dua lagi berkaitan sistem transaksi.
Menurutnya lima aduan telah diselesaikan, manakala tiga lagi masih dalam siasatan.
"Jadi kita telah melaksanakan pemeriksaan dan tindakan termasuk bersama sekali dengan Metrology Corporation, syarikat yang diberikan amanah untuk menentusahkan isipadu ketepatan minyak di stesen minyak.
"Kita juga telah pergi bersama membuat pemeriksaan dan mendapati kesan dia punya liter itu tepat, masih dibawah selisih yang dibenarkan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi walkabout skim harga maksimum musim perayaan Deepavali 2025 di pekarangan Bangunan Persekutuan Ipoh.
Sementara itu, mengenai Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), Datuk Kamalludin memaklumkan, sebanyak 154 syarikat di Perak telah membuat permohonan, dan pihaknya berharap lebih banyak syarikat yang layak akan turut serta.
Sebanyak 576 pemeriksaan harian dilakukan di 430 stesen minyak di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan sistem berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.