fb fb fb fb fb

SULUNG USM, bantu pelajar generasi pertama keluarga B40 capai kejayaan

Antara pelajar yang menerima manfaat Program SULUNG USM/RTM

GEORGE TOWN, 17 Oktober – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh komitmen terhadap pendidikan inklusif menerusi pelaksanaan Program Siswa SULUNG yang memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), untuk menyambung pengajian di universiti itu.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata program itu seiring usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada akses pendidikan tinggi.

“SULUNG ialah janji kami bahawa di setiap rumah yang kurang berkemampuan, pasti ada potensi dan di USM, kami berusaha mencungkilnya,” tambah beliau.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr Miharaini Md Ghani, pelajar SULUNG yang terpilih adalah mereka yang datang dari keluarga miskin dan merupakan insan pertama dalam keluarga berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

Jelasnya, program itu menawarkan bantuan menyeluruh termasuk pengecualian yuran, bimbingan mentor, latihan kepimpinan dan sokongan komuniti SULUNG.

Antara pelajar yang menerima manfaat program termasuk Muhammad Isma Ihtisyam Isharizat, 21, yang hilang penglihatan pada usia 15 tahun, serta Zamarul Iman Abdul Rahman, 20, yang kehilangan bapa sejak kecil.

“Saya hilang penglihatan, tapi semangat saya tetap kuat,” kata Isma dengan yakin bahawa boleh berjaya apatah lagi dengan sokongan keluarga dan komuniti USM.

Turut menerima manfaat ialah Daniel Tan Jun Sheng dan Preetam Raj Kathiraveloo, masing-masing berdepan masalah penglihatan akibat penyakit genetik dan tumor otak.

“Kekurangan bukan kelemahan. Saya mahu buktikan kemampuan diri,” kata Syahrul IzzSyahqeem Syahrul Nizar, 19, pelajar bidang Pengurusan dari Pahang yang dilahirkan dengan ketidakupayaan fizikal di tangan kanan dan bercita-cita menjadi juruaudit.

USM turut menegaskan komitmen terhadap budaya mesra OKU dan penyediaan kemudahan akses fizikal serta sokongan emosi bagi pelajar berkeperluan khas.

Menurut universiti itu, program SULUNG bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi usaha berterusan membina masa depan pelajar dan keluarga mereka melalui pendidikan.

MAT YUNUS BIN SABRI