fb fb fb fb fb

Bubar DUN: MB tunggu tarikh menghadap Pemangku Raja Pahang

(Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ditemui selepas menyerahkan
traktor kepada Jabatan Pertanian Pahang di Wisma Sri Pahang)

KUANTAN, 11 Oktober- Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail belum mendapat tarikh menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung status Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Saya masih belum dapat tarikhnya,” katanya ketika ditanya sama ada Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan untuk pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Wan Rosdy ditemui selepas menyerahkan traktor kepada Jabatan Pertanian Pahang di Wisma Sri Pahang di sini sebelum persidangan DUN hari ini.

Katanya sebaik tarikh diterima, beliau akan memohon perkenan Tengku Hassanal Ibrahim Alam untuk membubarkan DUN.

"Saya tak dapat tarikh lagi, belum lagi. (Penamaan calon) dalam proses, nanti dulu belum muktamad lagi. Mana boleh saya mendahului Tuanku," tambah Wan Rosdy.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negeri pimpinan BN akan membubarkan dewan undangan mereka serentak dengan pembubaran Parlimen.

Pahang berada bawah pentadbiran BN selepas gabungan itu memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-14, manakala Pakatan Harapan memenangi sembilan kerusi dan PAS, lapan kerusi.

Ketika menjawab soalan mengenai manifesto BN bagi pilihan raya negeri, Wan Rosdy berkata Bajet Pahang 2023 yang dibentangkan Jumaat lepas boleh menjadi manifesto kerana ia merangkumi semua parti.

(Datuk Seri Wan Rosdy Wan Rosdy ditemui selepas menyerahkan traktor kepada Jabatan
Pertanian Pahang di Wisma Sri Pahang)

Media Baharu