
KUALA LUMPUR 12 Mac – Sebanyak 13,920 kes tunggakan nafkah melibatkan bekas isteri berjaya diselesaikan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi tempoh 2020 hingga 2025.
- BSK menyediakan perundingan dan wakil guaman syarie, melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti saman penghutang, tahanan pendapatan, sita dan jual serta hiwalah.
- Kerajaan sediakan skim pendahuluan nafkah (RM1.73 juta sehingga Dis 2022) dan bantuan negeri/MAIWP bagi bekas isteri serta ibu tunggal.
- Sejak 2022 BSK Transit menampung kos perjalanan, makan minum dan penginapan untuk hadir ke mahkamah; orang ramai digalakkan membuat aduan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Marhamah Rosli, berkata perkhidmatan itu diwujudkan bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dipatuhi bekas suami demi menjaga kebajikan bekas isteri dan anak-anak.
“Melalui BSK, pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk khidmat perundingan serta guaman syarie bagi membantu bekas isteri mendapatkan hak nafkah yang tertunggak.
“Pegawai BSK juga boleh mewakili bekas isteri di Mahkamah Syariah dalam proses undang-undang seperti saman penghutang penghakiman, tahanan pendapatan, sita dan jual, serta prosiding hiwalah yang melibatkan sekatan akaun bank bagi menguatkuasakan perintah nafkah,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Jufitri Joha di Dewan Negara.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan khidmat pendahuluan nafkah bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terus terpelihara sementara menunggu pelaksanaan perintah mahkamah atau penyelesaian tunggakan.
Sehingga Disember 2022, sebanyak RM1.73 juta telah disalurkan melalui skim pendahuluan nafkah tersebut.
Dalam masa sama, bantuan nafkah sementara yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri kepada bekas isteri daripada golongan kurang berkemampuan turut merekodkan jumlah penyaluran sebanyak RM1.73 juta bagi tempoh sama.
Tambahnya, sejak 2022 juga perkhidmatan BSK Transit disediakan bagi menampung kos perjalanan, makan minum serta penginapan bekas isteri yang perlu hadir ke mahkamah bagi urusan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah.
Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyalurkan bantuan kepada ibu tunggal termasuk bekas isteri yang layak dalam kalangan asnaf.
Sepanjang tahun lalu sahaja, seramai 67,683 ibu tunggal menerima bantuan menerusi 10 skim bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM62.73 juta.
Dr Marhamah turut menggalakkan orang ramai yang berdepan isu pengabaian atau kegagalan membayar nafkah supaya membuat aduan kepada Bahagian Sokongan Keluarga melalui pelbagai saluran termasuk media sosial, telefon, e-mel atau hadir terus ke kaunter Mahkamah Syariah berhampiran.