LANGKAWI, 12 November- Siasatan penuh akan dijalankan oleh polis terhadap mangsa yang terselamat daripada insiden bot imigran karam di perairan Thailand-Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan mengambil kira sekiranya terdapat elemen penyeludupan atau pemerdagangan manusia.
" Buat masa sekarang oleh kerana keutamaan kita adalah mencari kalau masih ada yang selamat atau menemui yang telah meninggal. Itu keutamaan, tapi serentak dengan itu saya boleh sebut bahawa siasatan sedang dilakukan" ,katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, hari ini.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) disertai pelbagai agensi kini giat melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa serta mengesan mayat menggunakan aset udara dan laut.
Siasatan menyeluruh turut dijalankan bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab membawa kumpulan PATI itu.
Beliau sehubungan itu menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin untuk terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Khamis lalu, bot membawa PATI kebanyakannya etnik Rohingya karam di sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Setakat ini , 14 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 22 ditemukan maut.