
LANGKAWI, 11 November – Seorang berjaya diselamatkan manakala tiga lagi kru masih hilang apabila vessel nelayan mereka dilaporkan tenggelam di perairan Kuala Teriang, Langkawi Kedah pada Selasa.
- Operasi CARILAMAT diaktifkan oleh Maritim Malaysia melalui MRSC Langkawi.
- Kali terakhir hubungan pada 8 Nov 2026, jam 11.33 malam, kira-kira lapan batu nautika ke barat Pulau Burau.
- Operasi melibatkan aset KM Sugut, Bot Kilat 6 dan Pasukan Polis Marin melalui aset PLC 5.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob dalam kenyataan memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat awal mengenai kejadian kira-kira 4.35 petang semalam selepas pemilik vesel melaporkan gagal menghubungi bot berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal, kali terakhir vesel tersebut dapat dihubungi adalah pada 8 November 2026, jam 11.33 malam ketika berada kira-kira lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi,” menurut kenyataan itu.
Seorang kru, Basri Mohd Nor, 47 tahun, berjaya diselamatkan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tiga lagi kru termasuk tekong vesel, Kee Swee Kiat, 51 tahun, masih belum ditemukan dan operasi pencarian diteruskan bagi mengesan kesemua mangsa yang masih hilang.
Operasi CARILAMAT melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi aset PLC 5.