KUANTAN, 19 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melakukan kesalahan menggunakan sebidang pukat yang tidak dilesenkan, sekitar pukul 11.00 pagi, Rabu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang bersauh oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan OP MAKMUR dan OP TIRIS, pada kedudukan 17 batu nautika timur Kuala Pahang.
"Berdasarkan pemeriksaan awal bot itu dikendalikan seorang tekong dan lima kru warga Vietnam berusia 35 hingga 46 tahun yang mempunyai dokumen permit kerja dan pendaftaran lesen bot.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebidang pukat di atas bot yang tidak dibenarkan penggunaannya bagi bot jenis kail mengail," kata Mazlan.
Bot, tekong dan kru serta hasil laut dianggarkan seberat 200 kilogram dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti perikanan menggunakan sebidang pukat yang tidak dilesenkan bagi bot jenis kail mengail.