fb fb fb fb fb

Bot karam, kanak-kanak tujuh tahun dikhuatiri lemas

(FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA)

SANDAKAN, 1 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya Karam di 0.2 batu nautika perairan Tanjung Batu, Sandakan, petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata Operasi Mencari dan Menyelamat telah diaktifkan pada pukul 4 petang dan pangkalan hadapan Carilamat diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.

Beliau berkata, mangsa Romy Azlan, 7, menaiki bot bersama keluarga yang bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang.

(FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA)

"Bot yang membawa enam orang penumpang itu dipercayai terlanggar satu objek terapung sebelum terbalik.

"Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zainudin, empat individu dewasa dan seorang lagi kanak-kanak yang menaiki bot sama sempat diselamatkan.

Katanya, operasi pencarian ditamatkan pada pukul 6.30 petang dan akan bersambung semula pada pukul 7 pagi esok.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Media Baharu