fb fb fb fb fb

Bot hilang kawalan seret dua kapal layar, rempuh jeti

FOTO MARITIM MALAYSIA

SHAH ALAM, 13 November- Dua kapal layar rosak akibat diseret sebuah bot barter trade di jeti Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang, kira-kira 7 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor, Komander Maritim Sharenliza Ghazali menerusi satu kenyataan berkata bot Benteng 02 yang sedang melakukan rondaan rutin bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat.

“Bot KLM Maulana Hasil Abadi dari Indonesia bersama 15 kru warga Indonesia itu telah mengalami kerosakan enjin secara tiba-tiba apabila keluar dari Jeti Asa Niaga.

“Akibat masalah berkenaan, bot itu telah hilang kawalan lalu merempuh jeti Royal Selangor Yacht Club dan dua kapal layar berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sharenliza berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

"Sehubungan itu, orang ramai terutama komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mementingkan keselamatan diri dan memeriksa keadaan bot agar tiada kerosakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut supaya tiada sebarang masalah atau insiden berlaku,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE