SENDAYAN, 31 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengagihkan 150 unit bot komuniti di seluruh negara yang keseluruhannya bernilai RM1.8 juta bagi memudahkan dan menyegerakan penyelamatan penduduk terjejas banjir di peringkat awal.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata JBPM telah mengenal pasti organisasi berkemampuan untuk menerima bot itu dengan penyerahan dibuat secara berperingkat bermula hari ini.
"Sejumlah 150 unit bot ini telah kita perolehi sepenuhnya dan sedang diaturkan penyerahannya kepada sasaran yang kita sebutkan tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengenal pasti penerima bot ini dan kita mengharapkan mudah-mudahan ini akan dapat membantu usaha penyelamatan," kata beliau selepas merasmikan program Kempen Keselamatan Aktiviti di Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia, di sini hari ini.
Tambahnya, program tersebut merupakan inisiatif strategik sebagai wahana pendidikan awam bagi menyampaikan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan pencegahan insiden lemas.
Dalam program itu, JBPM Negeri Sembilan turut melaksanakan program rintis 'Jom Pandai Berenang'.
JBPM menyasarkan seramai 50,000 orang pelajar mengikuti program asas renang dalam tempoh lima tahun bermula 2026 sehingga 2030.