KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Bakal jemaah haji boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera (Akaun 2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai perbelanjaan asas bagi tujuan mengerjakan ibadah haji.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, caruman yang diterima akan dikreditkan ke dalam akaun mengikut nisbah 75:15:10 iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).
"Amaun yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera adalah perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun Tabung Haji ahli pada masa menerima tawaran Haji.
"Tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun Sejahtera mengikut mana yang lebih rendah," katanya.
Dewan turut diberitahu, sekiranya ahli memerlukan pembiayaan tambahan, ahli boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad.