fb fb fb fb fb

BNM, Perbendaharaan akan teliti semula laporan terkini KDNK Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 24 April- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Perbendaharaan akan meneliti dan menyemak laporan penilaian terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia; seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan lengkap mengenai perkara tersebut akan dimaklumkan pada Sidang Parlimen Khas yang akan berlangsung 5 Mei ini.

"Terdapat semakan yang dilakukan di peringkat antarabangsa untuk Amerika Syarikat (AS), China dan kebanyakan negara. Agak menurun sedikit.

"Bank Negara dan Perbendaharaan akan melihat dan mengkaji semula. Saya akan umumkan dan saya akan beri satu kenyataan lengkap di Parlimen pada 5 Mei', katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini.

Semakan antarabangsa itu tidak hanya terhad kepada Malaysia, tetapi melibatkan kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat dan China.

Perdana Menteri mengulas perkara itu susulan tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi tahun 2025 kepada 4.1 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum ini, selari dengan semakan penurunan unjuran pertumbuhan di seluruh rantau ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI