fb fb fb fb fb

Bina semula, baik pulih kediaman di Putra Heights cecah 85 peratus

Foto RTM

TANJONG KARANG, 26 September - Kerja pembinaan semula dan baik pulih kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights pada April lalu kini siap 85 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mohd Jamil Idris berkata, sebanyak 18 kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru terbabit dalam proses itu di mana 11 daripadanya melalui proses bina semula manakala selebihnya di baik pulih.

Setakat ini, tiga rumah baharu dan empat rumah baik pulih telah disiapkan dan pihaknya menyasarkan semua rumah siap selewat-lewatnya awal Oktober.

"Minggu lepas, kita telah berjaya siapkan dan bina baru sebanyak tiga unit, baiki sebanyak empat unit, jadi kita sasar untuk yang baik pulih tu kita akan siapkan menjelang September bulan ini.

"Untuk bina baru pada minggu pertama Oktober kita akan siapkan, setakat ini progress di tapak Alhamdulillah kita dah capai 85 peratus", katanya.

Tambah beliau, peruntukan dipersetujui sebelum ini adalah maksimum RM300,000 bagi rumah bina semula, manakala baik pulih rumah maksimum RM150,000.

Beliau ditemui selepas majlis doa selamat dan penyerahan kunci rumah kepada mangsa kebakaran melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SPNB di Blok Q, Sawah Sempadan, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis dirasmikan Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila.

Trainee