ROM, 26 September - Empat buah kapal Sumud Nusantara yang menyertai misi kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF) ke Gaza akan meneruskan perjalanan pukul 9:30 malam ini dari perairan Itali.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang juga Ketua Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara berkata, kapal berkenaan membawa muatan penting seperti makanan, air dan bahan bakar untuk kegunaan sepanjang perjalanan serta kepada rakyat Gaza,
"Alhamdulillah perkembangan terbaharu, kapal-kapal yang akan bergerak dari bumi Itali ini Insya-Allah malam ini jam 9.30. Kami akan mula bergerak dengan empat buat kapal.
"Saya berada di atas kapal induk yang membawa muatan makanan begitu juga air dan bahan bakar yang akan digunakan untuk memberi sokongan dukungan kepada bot-bot yang akan bergerak bersama sama kita.
"Kita adalah barisan belakang armada tetapi kita akan cuba berada bersama-sama mereka di barisan paling hadapan supaya kita boleh sama-sama menemui bumi gaza , sekiranya Allah memberikan kita ruang," katanya.
Menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, kapal-kapal lain seperti Familia, X1, dan Essia akan berlayar bersama dalam satu pasukan bagi menzahirkan solidariti dan kesatuan dalam misi bantuan tersebut.
Misi Sumud Nusantara merupakan salah satu usaha berterusan Cinta Gaza Malaysia bersama rakan-rakan antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang ditindas negara haram, Israel.
17 kapal yang disertai 11 pelayar Malaysia dan seorang pelayar Brunei mewakili Sumud Nusantara melalui GSF.