KUANTAN, 6 Jun-Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan penyertaan mana-mana pelabur untuk membina Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di negeri ini.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang, semua penginapan atau penginapan berpusat yang disediakan perlu mendapat perakuan penginapan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTK) terlebih dahulu.
"Sekarang ini tiada CLQ. Belum ada. Sebab itu saya katakan siapa berminat marilah berjumpa saya. Kita buat dan disewa.
"Siapa pengusahayang ada mungkin ada dua orang pekerja dan dia perlu. Boleh tumpang di sana.Kita kumpulkan sekali. Jadi mudah untuk kita kawal", katanya selepas merasmikan Program Pendidikan Perburuhan Peringkat Daerah Kuantan dan Majlis penyerahan Sijil Perakuan Penginapan di sini hari ini.
Program itu dihadiri 81 peserta terdiri daripada 31 syarikat majikan bagi memberi pendedahan tentang standard minimum penginapan dan kemudahan yang disediakan.
Katanya, pembinaan CLQ juga perlu memenuhi syarat yang diperuntukkan di dalam Akta Standard Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 atau dikenali sebagai Akta 446.
Menerusi akta tersebut mana-mana majikan yang gagal memperolehi Perakuan Penginapan apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, Akta 446 meliputi semua sektor pekerjaan antaranya bertujuan menetapkan standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja di Malaysia, selari dengan piawaian antarabangsa.
Sementara itu, JTK merekodkan sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang tidak patuh terhadap Akta 446 manakala sebanyak tujuh operasi telah dijalankan pihaknya sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.