fb fb fb fb fb

Bilangan penduduk terjejas banjir di Perlis meningkat

Penduduk terjejas banjir di PPS/ Foto RTM

KANGAR, 19 September- Bilangan penduduk terjejas banjir di Perlis terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah terkini yang dipindahkan kini mencecah 147 orang daripada 49 keluarga, setakat pada pukul 10.00 pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa, kesemua penduduk terjejas banjir ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, SK Arau yang dibuka sejak Selasa.

Dua lagi PPS, SK Dato' Ahmad Musa dan PPS SK Kubang Gajah dibuka bermula malam tadi.

"Mereka yang dipindahkan adalah penduduk terjejas banjir dari 11 kampung, antaranya Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Sungai Padang.

"PPS SK Dato' Ahmad Musa menempatkan penduduk teramai terjejas banjir dengan 47 orang daripada 14 keluarga dari Kampung Sungai Padang," katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihati penduduk supaya segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berikutan hujan lebat yang melanda Perlis ketika ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM