fb fb fb fb fb

BHEUU, UNODC tubuh jawatankuasa perkukuh tindakan terhadap jenayah siber

Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 November – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Undang-Undang bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk memperkukuh sistem keadilan negara dalam menangani isu jenayah siber menggunakan pendekatan moden.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawatankuasa khas antara kementerian dan agensi juga akan ditubuhkan bagi menyokong pembaharuan dalam perlindungan kanak-kanak, keadilan jenayah, dan jenayah siber, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).

“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan Ghada Fathi Waly, Ketua Pengarah merangkap Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu di Vienna (UNOV) dan UNODC, bersama Ikram Mohammad Ibrahim, Duta Besar Malaysia ke Republik Austria.

"Dalam pertemuan ini, UNODC berkongsi cadangan mengenai konvensyen jenayah siber antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu yang pertama, yang sedang dipertimbangkan oleh Perhimpunan Agung PBB,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini.

Konvensyen tersebut bertujuan untuk menangani isu kritikal termasuk penderaan seksual kanak-kanak dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak, dan penyebaran imej intim tanpa persetujuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN