fb fb fb fb fb

Beruang matahari dewasa mati, dilanggar dua buah kenderaan

FOTO FAIL

KEMAMAN, 5 Julai - Seekor beruang matahari dewasa ditemukan mati dipercayai telah dilanggar dua buah kenderaan di Kemaman, Terengganu malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan memberitahu, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 08.10 malam tadi di kilometer 299 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) dekat Hentian Kijal, Kemaman menuju ke arah Kuantan.
 
"Kemalangan berlaku apabila seekor beruang jantan seberat 90 kilogram (kg) itu dikatakan telah melintas lebuh raya secara tiba-tiba sebaik tiba di lokasi dan pada masa sama datang sebuah kenderaan kenderaan pelbagai guna gagal mengelak dan merempuh beruang berkenaan.
 
"Selepas dilanggar, beruang berkenaan bangkit semula dan cuba berlari melintas ke jalan bersebelahan namun sekali lagi dirempuh sebuah kereta yang gagal mengelak," katanya.
 
Hanyan berkata, haiwan liar itu dikatakan cuba menyeberang lebuh raya tersebut untuk menuju ke hutan berhampiran.
 
Beruang berkenaan mati di lokasi kejadian manakala semua pemandu dan penumpang kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
 
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu Loo Kean Seong berkata, bangkai beruang berkenaan telah diambil pihaknya untuk ditanam di satu lokasi selepas siasatan selesai dilakukan.
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melalui kawasan kejadian terutamanya pada waktu malam bagi mengelak kejadian sama berulang.

TETITIA YUSOFF