fb fb fb fb fb

Beruang masuk rumah cari makanan, disyaki terlepas dari pemilik

FOTO APM PEKAN

KUANTAN, 18 Mei- Seekor beruang matahari berjaya ditangkap selepas menceroboh sebuah rumah di Taman Tanah Putih, Pekan, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan, Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 pagi dan haiwan liar itu dipercayai bertindak memecahkan beberapa barangan di dalam rumah terbabit dalam usaha mencari makanan.

“Beruang itu kemudiannya memanjat keluar dari rumah dan disyaki merupakan haiwan peliharaan yang terlepas dari jagaan pemiliknya di kawasan perumahan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan telah digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.36 pagi.

Menurut Ahmad Azmi, pihak Perhilitan telah melepaskan tembakan ubat pelali sebelum membawa beruang tersebut ke pejabat Perhilitan Kuantan untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE