KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Berita audio berasaskan kod QR menerusi inisiatif 'Heard the News? Read With Me' diyakini mampu merapatkan jurang bahasa, khususnya di kawasan luar bandar.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 900 Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi merapatkan jurang digital, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu bersaing di peringkat global.
"Pusat NADI akan menyediakan akses kepada akhbar cetak dan akhbar digital NST untuk diimbas dan didengar, selain berfungsi sebagai pusat pembelajaran di mana masyarakat boleh meneliti artikel audio bersama-sama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Pelancaran Inisiatif Heard the News? Read With Me anjuran New Straits Times (NST) di ibu negara hari ini.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan juga membantu rakyat meningkatkan celik digital serta keyakinan menggunakan kod QR dan platform dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat NADI di seluruh negara akan bekerjasama rapat bersama NST bagi meluaskan capaian inisiatif ini ke semua negeri dan komuniti, termasuk pedalaman Sabah dan Sarawak serta di Kedah dan Kelantan.
Penguasaan bahasa, khususnya Bahasa Inggeris, tidak boleh dipandang ringan berikutan ia diiktiraf secara meluas sebagai bahasa global dalam bidang sains, teknologi, perniagaan dan diplomasi.
NST hari ini melancarkan inisiatif “Heard the News? Read With Me” yang membolehkan pengguna membaca dan mendengar artikel melalui audio kod QR pada berita terpilih.
Inisiatif hasil kerjasama NST dan MCMC itu dilaksanakan bersempena ulang tahun ke-180 akhbar berkenaan, dengan matlamat merapatkan jurang antara media cetak dan digital.