fb fb fb fb fb

Aplikasi MyJalan bakal jadi pangkalan data utama penyelenggaraan jalan raya

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

CYBERJAYA, 28 Ogos - Aplikasi MyJalan bakal diperkukuh sebagai pangkalan data utama pembangunan infrastruktur, khususnya dalam pengurusan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang dijalankan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir tahun ini.

"Selepas rundingan seperti ini, kita mahu pertingkatkan aplikasi MyJalan. Ia bukan sekadar saluran aduan, tetapi akan digunakan sebagai pangkalan data penting untuk menyelaras kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negara. Dengan data ini, tindakan boleh diambil dengan lebih cepat, tepat dan efisien," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar dan Sesi Libat Urus Data Jalan Program MyJalan 2025, di sini.

Penyelarasan data berkenaan juga dapat mengelakkan pertindihan tanggungjawab antara agensi dalam pengurusan jalan, selain menjadi rujukan penting bagi perancangan masa depan.

Melalui pangkalan data yang lengkap dan sistematik, kerajaan mampu merancang pembinaan jalan baharu dengan reka bentuk yang lebih baik, selamat dan selesa untuk semua pengguna.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program MyJalan bagi memastikan pengurusan jalan raya lebih selamat, sistematik dan inklusif, selain memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan keberkesanan penyelenggaraan.

Menerusi aplikasi itu, Kementerian Jalan Raya (KKR) menerima sebanyak 40,938 aduan berkaitan jalan raya sehingga 31 Julai lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI