KUCHING, 25 April - Tiada rundingan akan berlaku mengenai peruntukan kewangan kepada ahli parlimen pembangkang, selagi kerajaan tidak menerima surat perincian cadangan secara bertulis daripada pihak Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini beliau masih belum menerima permohonan secara rasmi dari PN berhubung perkara tersebut.
"Saya sudah beritahu supaya buat tawaran secara hitam putih, selagi belum terima surat tawaran rasmi tidak akan berlaku perundingan," kata Fadillah di sini.
Tambah beliau tiada syarat ditetapkan berhubungan perkara berkenaan kerana PN masih belum mengemukakan permohonan dan tawaran secara rasmi.
Bercakap kepada media di Kuching, beliau mendedahkan perjumpaan dengan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai peruntukan kewangan itu juga dibuat secara tidak rasmi.
Menurut beliau, semasa kerajaan keluarga Malaysia terdahulu ada perundingan dan Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai berhubungan perkara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus kerajaan Malaysia Madani pada masa ini adalah untuk meletakan semula Malaysia pada landasan yang betul bagi pemulihan ekonomi selain kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Tegasnya jika terus berpolitik, Malaysia akan semakin mundur dan ketinggalan berbanding negara ASEAN lain.
(Fadillah Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri)