KUALA LUMPUR, 25 April- Orang ramai dinasihat untuk sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah kesan jerebu kepada kesihatan diri ketika musim perayaan.
Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Perubatan Am Dr Hanafiah Bashirun berkata, "cuaca berjerebu boleh membawa kepada masalah gangguan pernafasan terutama pada golongan berisiko yang mempunyai penyakit jantung, asma, dan radang paru-paru.
"Sepanjang musim perayaan ini tidak digalakkan untuk kita melakukan aktiviti luar bagunan supaya kita tidak mendedahkan risiko kepada jerebu di udara. Selain itu, kalau aktiviti tersebut perlu dilakukan, digalakkan untuk memakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko menyedut debuan-debuan udara yang tercemar yang menyebabkan jerebu berlaku," katanya di sini.
Tambahnya, aktiviti pembakaran bunga api dan mercun juga harus dielakkan kerana ia turut menyumbang kepada pembebasan bahan-bahan tercemar ke udara seterusnya memburukkan lagi keadaan jerebu.
Cuaca panas yang melanda semenanjung Malaysia ketika ini menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
(Hanafiah Bashirun)