fb fb fb fb fb

Belum ada kes Naegleria Fowleri di Malaysia - KP Kesihatan

(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’ dikesan setakat ini.

Bagaimanapun rakyat dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya menjelaskan ini termasuk mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai yang menjadi habitat ameba.

Orang ramai juga dinasihat agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mungkin dicemari ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.


(Gambar Ameba Naegleria Fowleri di bawah mikroskop/ Foto CDC USA)

Langkah lain termasuk mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air.

Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah.

Ia boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis yang membawa maut.

Media Baharu