PUTRAJAYA, 24 Mei - Belia negara diseru menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menawarkan pengajian percuma dalam bidang pertanian moden selaras kehendak semasa industri.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan KPKM, Hizatul Haliza Hashim berkata, program TVET Pertanian bakal membuka pembuka peluang kerjaya luas sekali gus menjadikan belia negara sebagai tunjang penting kepada keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, sebanyak 16 pusat bertauliah di bawah KPKM menyediakan program TVET Pertanian secara percuma, antaranya Kolej Pertanian Malaysia, Kedah, Institut Latihan Mekanisasi dan Automasi Peladang (ILMAP), Kelantan dan Institut Veterinar Malaysia, Johor.
“Yuran pengajian di 16 institut latihan pertanian ini ditaja sepenuhnya. Kita juga menyediakan elaun bulanan sebanyak RM200 untuk pengajian peringkat sijil kemahiran. Makan, minum dan penginapan disediakan manakala peralatan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan".
“Saya menyeru semua belia, anak muda untuk menyertai kami TVET Pertanian di bawah KPKM memandangkan anda adalah pelapis untuk memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hizatul Haliza berkata, TVET Pertanian adalah terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 18 hingga 25 tahun untuk mengikuti program latihan dalam bidang kemahiran, antaranya tanaman, ternakan ruminan, pengeluaran padi serta akuakultur air tawar. - BERNAMA