fb fb fb fb fb

'Beli lain, dapat lain' antara aduan paling tinggi - KPDN

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 14 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sebanyak 47,249 aduan pengguna sepanjang tahun lalu, kata Ketua Penolong Pengarah KPDN, Muslimun Yusof.

Menurut beliau aduan yang paling banyak diterima melibatkan dua isu utama iaitu harga barang dan pembelian transaksi dalam talian.

Katanya, banyak aduan berkaitan pembelian barangan dalam talian yang tidak memenuhi janji penjual.

"Antara aduan yang diterima melibatkan situasi di mana pengguna memesan sesuatu barangan tetapi menerima barangan yang berbeza daripada apa yang diharapkan.

"Pengguna yang memperoleh perkhidmatan atau barangan yang tidak memuaskan atau tidak memenuhi ciri-ciri yang dijanjikan oleh penjual boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan pampasan atas kerugian yang dialami," katanya ketika ditemui Berita RTM di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Pengguna boleh tuntut hak sebagai pengguna

Beliau turut menasihatkan pengguna agar menuntut hak mereka melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sekiranya mengalami kerugian akibat barangan atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.

"Pengguna yang memperoleh perkhidmatan atau barangan yang tidak memenuhi janji penjual boleh membuat tuntutan melalui tribunal untuk mendapatkan pampasan," tambahnya.

Tambah beliau, KPDN komited memperkasakan advokasi kepenggunaan dan menggalakkan rakyat untuk lebih celik ilmu kepenggunaan serta memahami hak mereka sebagai pengguna.

GRACE AISYAH KEDAYAN