KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Belanjawan MADANI Kedua memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion khusus untuk meningkatkan taraf ekonomi dan rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan belanjawan tertinggi pernah dibentangkan.
Daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Perbelanjaan berkenaan turut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sebanyak RM15 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
"Penambahan ini menunjukkan kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.
"Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan MADANI Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat di sini.
Tambah Anwar, kerangka Ekonomi MADANI sudah memeta matlamat yang jelas iaitu untuk meningkatkan darjat hidup rakyat dan kembali menjadi jaguh ekonomi serantau.
Tambahnya, Belanjawan MADANI Kedua adalah kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI.
Justeru semua usaha yang dirangka akan menyusul setiap keutamaan dan penanda aras Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu: Pertama: Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Kedua: Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; dan Ketiga: Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.