
PULAU PINANG, 14 September – Penyediaan Belanjawan 2027 kini memasuki fasa akhir dengan sektor ekonomi berimpak tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, automotif, Ekonomi Biru serta peranti perubatan menjadi antara tumpuan utama.
- Siri jelajah Belanjawan bertujuan mendapatkan gambaran jelas mengenai perkembangan dan keperluan industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
- Sektor peranti perubatan berpotensi menghasilkan produk eksport bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
- Cadangan dikumpul akan disaring; sebahagiannya dimasukkan dalam Belanjawan, manakala sebahagian lagi dikaji bersama kementerian dan agensi.
- Siri jelajah sebelum ini meliputi Tawau, Perak dan Pulau Pinang; lokasi seterusnya diumumkan Kulim, Kedah.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, siri jelajah Belanjawan 2027 yang dilaksanakan di seluruh negara bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkembangan dan keperluan industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, sektor peranti perubatan turut mempunyai potensi besar untuk menghasilkan produk bernilai tinggi bagi pasaran eksport, selain mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
“Jadi, ini antara sektor yang mempunyai kepelbagaian ekonomi yang tinggi dan berpotensi meningkatkan peluang penggajian dalam negara, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih baik di sini.
“Bila kita mengadakan siri jelajah Belanjawan ini, matlamat kita adalah untuk menerima cadangan daripada sektor-sektor yang berkesan.
“Daripada situ, kita boleh melihat apa yang boleh kita laksanakan dari segi kerajaan.
“Sebahagiannya akan dimasukkan dalam Belanjawan, manakala sebahagian lagi akan kita kaji bersama kementerian dan agensi untuk melihat bagaimana kita boleh meningkatkan lagi keupayaan menyokong sektor-sektor tersebut pada masa hadapan,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan TM Future Skills (TMFS) Sekolah Angkat Madani Telekom Malaysia (TM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Al-Mashoor, di sini.
Siri jelajah Belanjawan 2027 sebelum ini bermula di Tawau, Sabah, sebelum diteruskan ke Perak dan Pulau Pinang.
Datuk Seri Amir Hamzah turut memaklumkan Kulim, Kedah akan menjadi lokasi siri jelajah seterusnya.