KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Parlimen bakal menerima hampir RM220 juta tahun hadapan bagi memperkukuh peranannya sebagai institusi semak dan imbang kepada dasar kerajaan bawah Belanjawan MADANI 2026.
Daripada jumlah itu, RM5 juta diperuntukkan khusus untuk memperkasakan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Selain itu, RM15 juta disediakan bagi memperluas liputan program kelestarian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM), yang setakat ini memberi manfaat kepada rakyat di 143 kawasan Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemerkasaan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh tiga cabang utama institusi negara iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman agar lebih bebas dan berwibawa.
Beliau turut memaklumkan, usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini di peringkat libat urus bersama pihak berkepentingan.
"Pasukan Reformasi Undang-undang sedang meneliti pembaharuan menyeluruh, termasuk penggubalan RUU Bidang Kuasa Admiralti dan RUU Koroner baharu, selain semakan terhadap undang-undang jenayah dan kontrak.
Selepas penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan juga akan meminda Akta Perlindungan Pengguna dengan memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas,” jelas Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.