fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 progresif dan berhemah - KM Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 10 Oktober - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai belanjawan progresif dan berhemah yang menzahirkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan itu di Menara Kinabalu, petang tadi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah mempertaruhkan belanjawan negara untuk tahun depan. Belanjawan ini saya sifatkan sebagai belanjawan progresif dan cukup berhemah tanpa meminggirkan kepentingan pelbagai masyarakat, terutama mereka yang kurang berkemampuan.

“Dalam belanjawan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi negara, Sabah turut menerima peruntukan yang boleh membantu negeri iaitu RM6.9 bilion. Selain itu, terdapat juga pembiayaan talian Southern Link Electric berjumlah RM765 juta dan banyak lagi manfaat lain untuk rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.

Menurut Datuk Seri Hajiji, peruntukan pembangunan RM6.9 bilion kepada Sabah bagi tahun hadapan berbanding RM6.7 bilion tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan negeri.

Daripada jumlah itu, RM765 juta diperuntukkan bagi membiayai projek Southern Link Electric, yang dijangka memperkukuh sistem tenaga elektrik di Sabah.

Turut menyaksikan pembentangan belanjawan berkenaan ialah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Belanjawan 2026 memperkenalkan sembilan Tekad Utama berteraskan tiga tonggak Ekonomi MADANI, dengan tumpuan memperkukuh ekonomi rakyat dan merapatkan jurang pembangunan wilayah.

Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM1.67 bilion bagi meneruskan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A, serta RM1 bilion untuk menaik taraf sistem bekalan air luar bandar.

Selain itu, projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 1 dijangka siap menjelang akhir tahun 2026, sekali gus mempertingkat jaringan perhubungan antara kedua-dua negeri di Borneo.

Selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah turut menerima geran khas sebanyak RM600 juta sebagai langkah memperkukuh autonomi kewangan negeri dan mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi pelbagai peruntukan strategik itu, kerajaan negeri yakin Belanjawan 2026 mampu mempercepat pembangunan seimbang serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE