fb fb fb fb fb

Sovereign AI Cloud pastikan pendigitalan selamat, berdaulat

Sovereign AI Cloud dikendalikan MCMC /FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif penting dalam Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), penyelidikan serta pembudayaan sains dan teknologi dalam kalangan belia.

Antara pengumuman utama ialah pelaburan RM2 bilion bagi pembinaan Sovereign AI Cloud dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Langkah ini dijangka memperkukuh keupayaan digital negara dan memastikan data strategik negara kekal dilindungi dan berdaulat.

"Sebuah Sovereign AI Cloud akan dibina oleh MCMC dengan pelaburan RM2 bilion," ucap Datuk Seri Anwar pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Selain itu, MCMC turut menubuhkan AI Transformation Centre dengan kerjasama Universiti Multimedia dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies.

Pusat ini akan berperanan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memacu pembangunan AI yang peka terhadap nilai budaya dan etika tempatan.

Dalam usaha membudayakan sains, teknologi dan daya cipta di peringkat akar umbi, kerajaan turut memperuntukkan RM15 juta bagi pelaksanaan pelbagai program belia termasuk Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, Rehlah Sains dan Science on Wheels.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN