BALING, 6 September - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan mengambil kira pandangan serta keperluan negeri dalam penyediaan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Kerajaan Persekutuan ada pertimbangannya, tetapi saya tegaskan kita ada keutamaan. Kita tanya negeri-negeri secara berfasa, ada pandangan yang boleh diterima dan ada yang perlu disesuaikan dengan keutamaan kerajaan Persekutuan. Dalam menentukan projek baharu tahun 2026, saya minta pandangan kedua-dua pihak diambil kira dan diselaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 peringkat Negeri Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
PMR 2025 peringkat Kedah berlangsung selama tiga hari bertujuan membolehkan rakyat termasuk di kawasan luar bandar mendapat akses secara terus kepada pelbagai perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan.