fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Komitmen Kerajaan Madani membina negara berdaya tahan

Foto facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM421 bilion mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Madani dalam membina negara yang berdaya tahan.

Tumpuan utama diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi, selaras dengan hasrat untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus kemajuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirangka dengan teliti, terangkum dan menyeluruh berpandukan visi Kerangka Ekonomi MADANI.

Ia bagi mempercepatkan reformasi ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara inklusif.

"Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM11.96 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Peruntukan ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51% berbanding tahun lalu. Daripada jumlah ini, RM4.47 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.49 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

"Peruntukan ini bagi memperkukuh agenda Desa Madani dan seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh 8.1 juta penduduk desa", katanya menerusi hantaran di facebook.

Kerajaan turut meningkatkan peruntukan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.

"Ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan terhadap pembangunan sektor pertanian dan komuniti perdesaan.

Sementara itu, sebagai Pengerusi Majlis Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut melihat pertambahan peruntukan kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion pada tahun lalu adalah bukti komitmen Kerajaan bagi memperkasa ekosistem TVET khususnya dalam menjalinkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang kepada belia, komuniti desa dan Orang Asli.

Tambahnya, masyarakat Orang Asli juga terus diberi perhatian di bawah Belanjawan MADANI, melalui peningkatan peruntukan kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun lalu.

"Usaha ini merangkumi projek pembangunan semula ladang Orang Asli serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Selain itu, bagi melancarkan pengurusan bencana negara, hampir RM600 juta diperuntukkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk persediaan menghadapi banjir.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, lebih RM300 juta telah diperuntukkan untuk tindakan segera sekiranya berlaku bencana.

"Kerajaan juga telah menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta dan merancang 12 lagi projek RTB dengan kos RM3 bilion.

Berkenaan Tahun Melawat Malaysia 2026 pula, bagi menyokong sektor itu, sebanyak RM550 juta disediakan untuk mempromosikan destinasi pelancongan.

"RM 600 juta turut diperuntukkan bagi memelihara warisan budaya serta memulihkan bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

Melalui perancangan dan komitmen yang jelas dan terangkum, Belanjawan 2025 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

"Saya akan memastikan peruntukan kepada KKDW dan agensi-agensi di bawahnya serta peruntukan kepada jawatankuasa di bawah saya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan digunakan sebaiknya untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan memperkukuh pembangunan negara", katanya.

ROSLINA BINTI DIN